Shah Alam Jurnalis


PERSONALITY

Keluarga tunggak kejayaan Tengku Mahamad Tengku Mahamut

Oleh : Azreen Hani Abu Bakar

Syarikat petro-kimia Optimal yang ditubuhkan pada tahun 1998 telah berjaya mengungguli
pasaran produk petro-kimia di Asia, dengan pelanggan yang merangkumi pasaran Asia Tenggara, China, Taiwan dan Korea Selatan. Kejayaan demi kejayaan yang dicatatkan syarikat daripada negara kita ini sekaligus menempatkan Malaysia di persada antarabangsa.

Ramai yang tidak mengenali insan yang bertanggungjawab disebalik kejayaan Syarikat Optimal ini. Dato’ Tengku Mahamad bin Tengku Mahamut merupakan insan berkaliber yang bertanggungjawab membangunkan industri petro-kimia di Negara kita. Sekaligus berjaya membuktikan kebolehan dan kewibawaan anak Bumiputera di dalam menerajui syarikat bertaraf antarabangsa.

Lebih membanggakan, beliau merupakan anak didik kelahiran UiTM (dahulunya ITM;Institut Teknologi Mara) di dalam Diploma Perusahaan Plastik dan Getah, turut membuktikan kemampuan sistem pendidikan dan pengajaran nasional.

Beliau merupakan anak jati Kuala Terengganu yang dilahirkan pada 27 Disember 1954, merupakan anak sulung daripada sepuluh adik beradik. Dibesarkan dengan penuh didikan dan kasih sayang, menjadi lumrah bagi beliau untuk menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin, sekaligus membentuk karisma tersendiri di dalam pembentukan ciri-ciri kepimpinan. Beliau melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda di dalam bidang Teknologi Polimer di Brunei University of Middlesex di United Kingdom.

Minat beliau yang mendalam menyebabkan beliau melanjutkan lagi pengajian di peringkat sarjana dalam bidang kejuruteraan polimer. Beliau yang terkenal dengan sifat pendiam tetapi tegas mengakui antara cabaran yang dihadapi semasa menjadi pelajar adalah sikap skeptikal yang datang dari masyarakat setempat dan asing.

“Keluarga yang banyak menyokong saya ketika melanjutkan pelajaran. Ada rakan-rakan yang tidak faham mengenai minat saya dalam bidang ini, maklumlah bidang polimer pada masa dahulu tidak mendapat pendedahan meluas, bukannya seperti sekarang,” ujar beliau ketika mengimbas pengalaman dahulu.

Walaupun kejayaan yang diraih amat membanggakan, Tengku Mahamad yang terkenal dengan sifat rendah diri tidak pernah membenarkan sifat riak menguasai beliau. Buktinya, beliau tidak pernah berhenti berbakti kepada keluarga dengan menunaikan tanggungjawab sebagai anak sulung dan membantu adik-beradik dengan mengirimkan wang kepada mereka saban hari.

“Itu hanyalah perkara wajib yang akan dilakukan oleh setiap anak iaitu membantu keluarga. Setinggi manapun pangkat kita, kita tidak akan berjaya tanpa sokongan keluarga. Jadi, jangan lupa diri, tanpa mereka kita juga tidak ke mana,” tambah beliau.

Beliau yang mempunyai lima orang cahaya mata turut menerapkan asuhan yang sama kepada putera-puterinya. Pendidikan diberikan penekanan khusus seiring dengan pendidikan agama bagi membentuk perilaku terpuji dan berakhlak dalam diri anak-anak beliau.

“Pendidikan sangat penting dalam kehidupan. Setiap orang perlu menimba ilmu, kerana walau sebanyak manapun harta kita, tanpa ilmu, ia mungkin akan tergadai,” tegas beliau. Beliau turut memuji keberkesanan pendidikan di Universiti Teknologi Mara.

Beliau melahirkan rasa kagum dengan sistem pengajaran bertaraf antarabangsa yang diterapkan dari dahulu lagi. Menurut beliau UiTM banyak membantu anak bangsa dalam melahirkan generasi berkualiti dan berdikari.

Syarikat Optimal telah banyak memberi ruang pekerjaan kepada Bumiputera dan juga terlibat dalam aktiviti kebajikan. Syarikat Optimal juga sentiasa menyokong perkembangan UiTM samada dengan memberi bantuan dari segi kewangan mahupun tenaga. Syarikat Optimal turut menawarkan pekerjaan khususnya kepada pelajar UiTM melalui dalam Pesta Kerjaya 2007 yang dianjurkan UiTM.

Rezeki yang dianugerahkan Allah kepada beliau semakin menyedarkan beliau terhadap kebesaran Allah, dan berdasarkan itu beliau mahu memanfaatkan rezeki tersebut kepada ahli keluarga dan juga masyarakat.








%d bloggers like this: